SINGAPURA: Syarikat pasar raya gergasi Perancis, Carrefour, akan menghentikan jualan produk sirip jerung selepas stok semasanya habis, lapor media semalam.
Jurucakap Carrefour berkata, syarikat itu tidak akan mengambil bekalan baru sebagai sebahagian daripada usahanya melaksanakan tanggungjawab sosial.
Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada pemberhentian itu turut membabitkan pasar raya lain Carrefour di seluruh dunia.
Sirip jering kekal menjadi produk digemari ramai di Singapura dan dihidangkan dalam perayaan masyarakat Cina serta majlis perkahwinan.
Menurut pertubuhan pemuliharaan alam sekitar WWF, Singapura adalah pusat perdagangan sirip jerung kedua terbesar di dunia selepas Hong Kong.
WWF Hong Kong berkata, permintaan tinggi terhadap produk itu menjadi punca utama menyumbang kepada kepupusan populasi jerung dunia.
Lebih 180 spesies jerung dianggap diancam kepupusan pada 2010 berbanding hanya 15 pada 1996. Kenyataan itu dibuat sehari selepas rangkaian pasar raya terbesar Singapura, NTUC FairPrice, mengumumkan tidak lagi menjual produk sirip jerung di premisnya.
NTUC FairPrice - psara raya koperasi diuruskan kesatuan sekerja Singapura - menyatakan produk itu akan digugurkan April ini. - AFP
-HarianMetro-