LUPAKAN seketika mengenai dunia tenis Maria Sharapova yang ketika ini kelihatannya berjalan lancar, mara ke separuh akhir Terbuka Amerika Syarikat untuk berdepan pemain nombor satu dunia, Victoria Azarenka.
Dia mendedahkan kisahnya di luar gelanggang minggu lalu apabila berkata dia memutuskan pertunangan dengan pemain bola keranjang profesional, Sasha Vujacic.
Sewaktu sidang media selepas kemenangan 6-1, 6-1 ke atas Mallory Burdette untuk layak ke pusingan keempat, Maria yang juga pemenang empat gelaran Grand Slam berkata hubungannya dengan Vujacic berakhir sejak akhir musim bunga.
“Saya sebenarnya menunggu jika ada sesiapa yang bertanyakan soalan itu tetapi tiada siapa yang berbuat demikian secara berterus terang,” kata Maria.
“Tahukah anda, ia sebenarnya satu keputusan yang mencabar buat kami berdua.”
Berita mengenai pertunangan mereka tersiar pada Oktober 2010 apabila Vujacic berkata dia melamar Maria pada ulang tahun pertama hubungan mereka.
Vujacic datang ke Wimbledon untuk menyokong Maria tahun lalu ketika dia berjuang hingga ke final, malah berdiri, menjerit dan menggenggam penumbuk di tempat duduk tetamu.
“Kami masih menghormati satu sama lain. Saya masih senang memanggilnya sebagai seorang kawan,” kata Maria.
“Kami menempuh detik yang hebat bersama.”
Pemain posisi guard dari Slovenia itu terpilih menyertai Los Angeles Lakers pada 2004, dan bermain untuk mereka sebelum dijual ke New Jersey Nets pada musim 2010-11 dan meninggalkan kelab itu untuk bermain di Turki.
“Ia tempoh yang hebat buat kami berdua tetapi jadual karier kami menyukarkan masing-masing sukar bertemu dengan perjalanan yang perlu ditempuhi, apatah lagi dia kini berpindah ke Turki. Sukar untuk dia melakukan penerbangan dengan kerap. Dia tidak pulang sepanjang 10 bulan di Turki dan ini menjadikannya begitu sukar,” kara Maria.
Maria melengkapkan pencapaian Grand Slam sepanjang kariernya dengan menjuarai Terbuka Perancis, Jun lalu. Dia pernah menjuarai Wimbledon pada 2004, Terbuka AS 2006 dan Terbuka Australia 2008.
“Saya berehat seketika selepas Wimbledon dan pulang ke rumah. Saya rasa sedikit cergas. Saya rasa lebih bertenaga sebaik berakhirnya Terbuka Perancis.”
sumber