SELEPAS gagal menterjemahkan setiap peluang meledakkan jaringan dalam perlawanan sebelum ini, Safee Sali kembali bersemangat untuk membantu Malaysia menjelang perlawanan persahabatan antarabangsa bertemu Vietnam di Stadium Shah Alam, malam esok.
Seandainya diberi peluang untuk membarisi kesebelasan utama skuad kebangsaan, penyerang kelahiran Kajang, Selangor itu tekad untuk merobek gawang Vietnam sekali gus membuktikan sentuhan beliau masih lagi berbisa.
“Kali terakhir saya menjaringkan gol ketika Malaysia tumpas 2-3 kepada India dalam satu aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Lake Salt, India pada 16 November tahun lalu.
“Jadi, sudah agak lama rasanya saya tidak menjaringkan gol bersama skuad kebangsaan,” kata beliau.
Katanya: “Dengan itu, saya berharap dapat menamatkan kemarau ini tidak kira siapa gandingan saya nanti.”
“Ini kerana tugas sebagai seorang penyerang ialah menjaringkan gol. Dan saya harus menjaringkan gol untuk Malaysia.
“Apa-apa pun, semua itu tidak akan berhasil tanpa sokongan daripada rakan sepasukan,” kata Safee ketika dihubungi Sinar Harian Online, hari ini.
Pada masa sama, Safee turut menggesa rakan sepasukannya agar mempamerkan aksi terbaik dan konsisten ketika perlawanan menentang Vietnam di halaman sendiri nanti.
“Vietnam sebuah pasukan yang kuat. Kita tidak boleh memandang ringan terhadap kemampuan lawan.
“Jadi, saya harap rakan sepasukan mampu mempamerkan persembahan cemerlang, kerana inilah peluang terbaik kita untuk membuktikan kemampuan Malaysia.
“Selain itu, saya juga harap sokongan padu daripada penyokong akan menjadi pembakar semangat kepada kami untuk memperagakan aksi terbaik,” katanya yang optimis Malaysia mampu mencatat kemenangan nanti.
Sinar